Wednesday, February 01, 2012

~KETAWA, MENANGIS~






Situasi 1

Di sebuah rumah tidak jauh dari ibu kota. Seorang remaja terbahak-bahak menyaksikan Maharaja Lawak di Astro. Dia ketawa sambil menekan-nekan perutnya. Mungkin kejang perutnya kerana ketawa.

Tidak puas menonton, didownload pula rancangan itu di Youtube. Dari siang ke malam. Dari terbit matahari, hingga terbenam matahari. Ketawa, ketawa dan terus ketawa. Hati sepi.



Situasi 2

Di suatu malam yang hening, di sebuah masjid. Seorang anak muda menyelak helaian kitab Syamail Muhammadiyah. Helaian demi helaian diselak dengan penuh minat. Matanya tertancap pada dua buah kisah…

*********************************

Kisah 1
Suatu hari, Zahir – seorang lelaki Badawi memberikan hadiah dari kampungnya kepada Rasulullah SAW. Baginda pun membungkusnya ketika hendak pulang. Baginda berkata kepada sahabat yang lain. “Zahir ialah orang Badawi yang merupakan sebahagian daripada kita, dan kita pula adalah orang kota yang akan selalu menyayanginya.” Baginda SAW sendiri amat menyenangi Zahir walaupun beliau bukanlah seorang yang kacak dan tampan.

Suatu hari, Rasulullah SAW menghampiri Zahir yang sedang menjual barang dagangan, Baginda terus mendakap Zahir dari belakang. Zahir yang tidak dapat melihat orang yang mendakapnya pun berkata, “Siapa ini? Lepaskan aku!”

Kemudian Zahir cuba menoleh dan mengetahui bahawa orang yang mendakapnya adalah Rasulullah SAW. Dengan itu, Zahir membiarkan sahaja dirinya didakap oleh insan agung itu. Dengan nada bergurau, Rasulullah berkata, “Siapakah yang hendak membeli budak ini?”



Kisah 2
Seorang perempuan yang sudah tua menghampiri Rasulullah SAW sambil berkata, “Wahai Rasulullah, doakanlah agar saya boleh masuk ke syurga.” Baginda menjawab, “Wahai Ummu! Syurga tidak dihuni oleh perempuan yang sudah tua.” Mendengar hal itu, perempuan itu segera beredar sambil menangis.

Rasulullah berkata kepada sahabatnya, “Beritahu kepada Ummu itu bahawa dia tidak masuk syurga dalam keadaan tua. Allah berfirman:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya. (Surah al-Waqiah ayat 35-37)

Helaian kitab ditutup. Air mata bertakung. Kemudian menumpah, membasahi pipi dan gugur ke riba.





Sungguh, aku merinduimu YA RASULULLAH~


pppssstt: Bergurau, bersenda, berjenaka ada tempat, masa dan hadnya. Ayuh contohilah manusia AGUNG sepanjang zaman yang kita cintai NABI MUHAMMAD S.A.W~





No comments: